Thursday, May 20, 2010

The Reader

Membaca dengan sepenuh hati, sepenuh minda terbuka, menjelajah makna perkataan demi perkataan, berimaginasi membayangkan setiap butiran kata yang membentuk karangan cerita. Emosi yang terkandung di dalamnya dihayati, memahami makna setiap perbuatan demi perbuatan.

Membaca membuka fikiran.

Menambah pengalaman lebih luas.

Memahami gerak laku dan tingkah laku manusia.

Mahir dalam bahasa yang dibaca.

Menajamkan akal fikiran dan ingatan.

Membaca menjelajah dunia pengalaman manusia.


Membaca adalah makna pencarian. Manusia memburu maklumat dengan penuh fokus yang mendalam. Dalam pencarian ini, manusia akan menemukan bermacam-macam emosi dan pandangan.

Manusia yang rajin membaca akan berasa otaknya ringan dan celik fikiran. Membaca juga sebuah nikmat dari sepasang mata yang sempurna melihat.

Mata yang menghayati pada sebuah pembacaan sambil akal dan fikiran menerewang jauh ke dalam alam khayalan di minda yang teramat luas potensi dan kemampuannya.

Membaca sebuah kenikmatan pada akal yang sempurna, berfikir berdua bersama sebuah buku. Pembaca akan berkata-kata seorang diri, adakalanya mendengar namun adakalanya memprotes mengenai apa yang dibaca.

Huruf demi huruf dieja. Perkataan demi perkataan yang tersusun rapi menjadi ayat yang menyampaikan sebuah mesej tersurat dan seribu mesej tersirat mainan fikiran yang mengisi hiburan akal dan minda.

Pembaca menjelajah dunia hanya dengan sebuah buku dan bacaan. Minat membaca, suatu keuntungan. Kenal maka jatuh cinta kepada ilmu bermula dengan kesudian ruangan hati dibuka kepada kesanggupan membaca.

Membaca bukan sahaja membaca. Pembaca juga perlu menulis dan mengarang. Luahan emosi fikiran dan pandangan perlu dilepaskan dengan syarat tidak menyakiti hati orang lain. Dengan maklum balas dan komen seterusnya dari pendengar barulah akan adanya kritikan yang membina. Begitulah manusia, adakalanya membaca dan adakalanya menulis pandangan untuk dibaca. Adakalanya mendengar dan adakalanya menyuarakan pandangan untuk didengar.

Manusia memang dilahirkan untuk membaca. Kerana dengan membaca maka ilmu-ilmu pengetahuan dapat digali. Manusia lebih dapat tahu berfikir dalam medan fikiran yang lebih luas yang membolehkan manusia membuat pilihan dengan lebih tepat dan bernas.