Kita semua tahu bahawa hakikat kehidupan ini pasti akan bertemu dengan mati. Dan kematian itulah yang paling dekat dengan diri kita. Kerana kematian kita tidak kita ketahui bila maka ianya datang laksana ombak tsunami yang menyambar habuan bumi. Derasnya jika dapat kita bayangkan, pasti akan hadir ketakutan pada setiap masa apabila jika kita selama ini leka dengan tipu daya kesenangan dunia yang memperdayakan tanpa berusaha melakukan segala amal yang akan kita bawa ke hari yang kekal iaitu di alam akhirat nanti.
Dengan sentiasa mengingati mati akan menghadirkan ubat bagi segala kealpaan iaitu WASPADA. Akan tetapi, diakui sememangnya sukar bagi seseorang manusia untuk sentiasa mengingati hakikatnya sebuah kematian. Akan berlakunya mati itu pun amat mudah sekali dilupakan. Apakah mati itu hanya akan berlaku apabila setelah kita tua sahaja? Apakah mati itu pilihan kita untuk menentukannya? Jika hidup pun bukan kita yang tentukan, maka sama juga halnya dengan mati. Ianya datang mendadak tanpa sebarang peluang untuk turning back bagi memperbetulkan segala kesalahan. Bagi insan-insan yang berfkir lantas menginsafi hakikat kesementaraan hidup, sudah pastilah bukan dunia ini yang dikejarnya. Dunia ini hanyalah sebagai alat yang diibaratkan sebagai jambatan menuju akhirat.
Manusia itu adanya atau tiadanya sama sahaja, kerana ia tiada sebelum adanya dan akan tiada selepas adanya kerana sememangnya manusia itu tidak pernah ada sebenarnya. Maka sebab itu, penciptaan manusia oleh Allah S.W.T. adalah sebuah peluang yang Allah beri kepada kita untuk samada mencapai kejayaan yang berkekalan iaitu bukan di alam dunia tetapi alam akhirat yang akan terus hidup selama-lamanya atau ingin gagal di sana selama-lamanya. Nah bunyinya sangat menakutkan bukan? Bagi yang tidak merasa takut bermakna ia tidak mengenal rohaninya sendiri, dengan kata lain ia belum sedar akan roh dalam dirinya. Maka tidaklah ia berfikir akan ke mana perginya roh sendiri selepas mati, apakah terus dimatikan sehingga segala apa yang diperlakukan tidak akan dipertanggungjawabkan maka berbunuhanlah sesama kita jika kita berani.
Renungkanlah di sini, ketika adanya suatu majlis, seseorang itu berasa sangat excited untuk menghadirinya. Kemudian ia memasang angan-angan yang panjang. Bermacam-macam keindahan yang dibayangkan. Kemudian berbagai-bagai persiapan ia lakukan untuk majlis itu. Ia sediakan pakaian yang baru, langsir yang baru, meja dan kerusi yang baru dan sebagainya. Lalu pabila tibanya waktu majlis itu, mereka bergembira dan ketawa. Bermacam-macam hal yang dibualkan. Kebanyakannya hal-hal duniawi. Dan kemudiannya setelah majlis selesai, kesemua pun pulang ke tempat masing-masing. Dan begitulah hakikatnya hidup ini! Segala-galanya adalah putaran masa semata-mata, dan pergerakan matahari dan bulan itulah perhitungan pada setiap amalan kita di dunia ini. Adakah kita bekalkan umur kita dengan taat, hati kita dengan iman dan taqwa, mulut kita dengan zikir, harta kita dengan zakat, atau adakah semata-mata perkara-perkara lagha yakni sia-sia yang kita lakukan ketika hidup di dunia ini sehingga kita menjadi miskin di akhirat dengan amat sedikit amalan yang kita bawa di akhirat kelak?
Atas hal kematian dan kehidupan di akhirat yang kekal abadi, apakah lagi nilainya kehidupan di dunia ini mesti dimiliki atas keinginan materialistik yang fana dari dorongan hawanafsu semata-mata dan bukannya atas kerana niat ikhlas kerana Allah?
Kepada semua insan-insan yang sedang seronok mengerjakan tuntutan hawa nafsu sehingga lupa kepada perintah dan larangan Allah Rabbul Alamin, bergembiralah di waktu sihat sekarang kerana akan datang suatu kesakitan yang pada ketika itu anda akan mendahagakan keampunan dari Allah S.W.T.
Saudara muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian,
Kita tahu bahawa Allah itu ada, dan kita dapat merasakan kewujudan Allah itu dalam diri kita, bagaimanakah caranya untuk kita memupuk rasa cinta kepada Allah S.W.T?
Rasa cinta itu akan hadir hanya setelah kita mengenal Allah. Iaitu apabila kita mengenal kasih sayang Allah terhadap kita. Betapa Rahmat Allah itu luas. Segala apa yang kita miliki, udara yang kita sedut, air yang kita mandi dan minum, makanan yang kita perolehi itu semua adalah rezeki yang Allah bagi yang wajib kita syukuri. Apakah hak kita untuk mempersoalkan kehendakNya apabila kita ditimpa musibah? Bukankah manusia itu tiada sebelum ada, dan diciptakan dari setitis mani yang hina, kemudian tulang yang bersalut daging itu Allah tiupkan roh ke dalamnya, lalu menjadilah ia seorang manusia yang pada kesudahannya ialah jasad yang ditanam ke dalam muka bumi menjadi hancur, sedangkan rohnya kekal di alam baqa!
Pernahkah kita sedar bahawa segala yang diberi dalam kehidupan kita ini adalah pemberian Allah Tuhan Semesta Alam. Dan yang paling unik yang dapat kita fikirkan ialah kita ibarat hero bagi diri kita sendiri yang menjadi watak utama dalam hidup kita. Ini sudah tentu kerana hanya kita yang dapat melihat dunia ini dari kaca mata kita sendiri. Sudah tentu kita tidak dapat melihat dari sudut kaca mata orang lain. Setiap hari kita pejam dan bukakan mata, pernahkah kita terfikir dari mana datangnya kita dan untuk tujuan apakah kita diadakan dalam kehidupan ini? Jika kita tidak percaya akan hari akhirat, ayuhlah marilah kita berbunuhan dan berbuatlah sesuka hati sesama kita. Sedangkan kita akan dibangkitkan setelah mati dan setiap amal perbuatan kita akan dipersoal dan dipertanggungjawabkan walau sebesar zarah!
Manusia mudah hidup dalam kealpaan. Ini disebutkan bahawa jalan menuju ke syurga itu berliku-liku sedangkan jalan menuju ke neraka itu mudah dan rata. Bukan mudah bagi seseorang yang sudah dikuasai sifat syaitaniah dan sifat kebinatangan yang sedang dimonopoli oleh buasnya terkaman hawa nafsu untuk membayangkan azab siksa yang pedih api neraka. Yang sering kita ucapkan ketika berbuat dosa ialah Allah itu Maha Pengampun, tidak mengapalah berbuat dosa kerana umur panjang lagi! Inilah kesilapan kita hasil dari dorongan hawa nafsu dan bisikan Syaitan hingga adanya rasa panjang harapan yang bererti merasakan umur masih panjang lagi dan akan ada kesempatan untuk bertaubat. Padahal ia lupa bahawa sungguhpun Rahmat Allah itu luas akan tetapi amat keras seksaanNya!
Dalam seharian kita bangun dari tidur, kita berjaga sehari suntuk, seharian memandang kehidupan dari kaca mata kita, apa yang tersurat adalah kegembiraan dan keseronokan yang ingin kita kejar. Kita lebih banyak memikirkan tentang masalah kehidupan yang tidak putus-putus datang dalam hidup kita. Bagi sesetengah yang tidak mengalami sebarang masalah hidup pula, ia lalu berasa bosan seakan-akan merasakan seperti kehidupannya tidak mencabar. Ia tercari-cari apakah maksud sebenar hidup ini? Oleh kerana tidak dapat mencari jawapannya, maka ia terus leka dalam keseronokan dunia tanpa ingat akan tempat kepulangannya di kampung akhirat setelah ia kembali nanti.
Terasa sekali bagaikan keseronokan itu adalah suatu yang kekal dalam hidup kita sedangkan tatkala datang kesedihan, kita ingin menolak kesedihan dan barangkali mungkin kita agak sukar sekali untuk menerima hal-hal yang sedih yang datang dalam hidup kita.
Dalam seharian kita hidup di alam dunia ini, pada sebelah pagi kita akan mengejar untuk mengisi perut dengan sarapan pagi, kemudian bersembang-sembang bercerita tentang hal ehwal dunia, yang mana hal-hal yang bermanfaat dan yang tidak bermanfaat dicampur adukkan sekali, kita banyak berbicara tentang hal ehwal lelaki dan perempuan, barang-barang jualan keluaran terbaru, kereta yang baru keluar, beg tangan jenama baru, apa aktiviti kita ingin buat di hujung minggu, bila kita nak pergi tengok wayang... tetapi, jarang sekali kita berbicara tentang Tuhan yang menemukan kita dalam siri kehidupan yang kita alami setiap hari.
Bagi kita yang meyakini akan hari akhirat, adakah wajar untuk kita memandang masalah duniawi ini sehingga membebankan akal fikiran dan perasaan kita?
Bagi insan-insan yang menyedari hakikat kehidupan ini yang sebenar, jelas sekali tangisan yang wajar bagi seseorang insan itu adalah kerana ia terlupa pada Tuhannya dan menangisi segala dosa-dosa yang telah di lakukan, dan begitu juga menangis kerana mengharapkan keampunan dari kedua orang tuanya. Bukannya tangisan kerana putus cinta, kehilangan kekasih, kehilangan harta benda dan sebagainya. Kerana harta benda, kekasih, dan segala hal-hal di dunia itu akan turut sama mati dan turut binasa sepertinya jua. Sesungguhnya, akhirat itulah tempat beristirehat yang sebenar-benarnya kerana itulah yang kekal.
“Akan datang suatu kesakitan kepada diri kita di mana pada ketika itu kita mendahagakan keampunan Allah S.W.T. pada setiap dosa yang pernah kita kerjakan selama kita hidup di dunia..”
MUSUH UTAMA MANUSIA
1.Iblis dan syaitan
GODAAN YANG MENGUJI MANUSIA
1.Hawanafsu
2.Duit
3.Perempuan
4.Dunia
Dengan godaan-godaan ini, barangsiapa yang lalai dan alpa akan hanyut ke arah kebinasaan. Sedarlah sementara masih belum terlambat.
“ 'Tinggalkan' dunia sebelum engkau diberi isyarat meninggalkannya”
Dalam maksud frasa meninggalkan dunia itu bukanlah bermaksud meninggalkan dunia sehingga tidak pergi bekerja, tidak belajar dan segala-galanya. Akan tetapi, ambillah dunia itu cukuplah semata-mata untuk keperluan akhirat.
Kunci Solat Tengah Malam
1.Makan kurang, tidur kurang, (Hawanafsu akan menghalang kita untuk mendekati Allah)
2.Kebahagiaan yang sebenar adalah kemenangan dalam melawan hawanafsu.
3.Rajin berpuasa kerana puasa adalah latihan menentang hawanafsu untuk menewaskannya.
4.Rajin bertafakur, memikirkan tentang hakikat kehidupan ini ialah kita datang dari Allah dan akan kembali semula kepada Allah.
5.Sentiasa meyakini dan merasakan Allah itu ada, sedang memerhatikan kita, mengetahui segala apa yang kita sembunyikan.
6.Perbanyakkan memahami Al-Quran dan Hadis.
7.Sentiasa menyedari akan hakikat kehidupan yang sebenar bukanlah di dunia tetapi di akhirat.
8.Rasa takut dan berharap kepada Allah S.W.T.
9.Mengenangkan kasih sayang Allah, hadirnya cinta. Betapa Allah bersifat Yang Maha Pemurah, telah memberikan segala kenikmatan dan ujian semuanya di atas kasih sayangNya kepada kita, dan diberinya pula hidayah kepada kita agar kita beroleh jalan keselamatan.
Dunia ini sering mempersendakan kita dengan keseronokan yang memperdayakan. Sehingga kita lupa dari mana asalnya kita, dan kepada Allah S.W.T. tempat kita kembali menyerah diri..
No comments:
Post a Comment