Thursday, October 29, 2009

Akhirat Sebagai Tujuan Hidup Kita

Waktu untuk bersuka-suka itu berlalu sekejap sahaja. Tiada yang kekal dalam hidup di dunia ini. Sama juga halnya dengan kesengsaraan. Semua berlalu sementara sahaja. Sifat kesementaraan dunia inilah yang perlu diinsafi selalu, dan sifat kekekalan akhirat itulah yang sepatutnya dijadikan matlamat dan hala tuju selagi hayat masih ada.

Kebahagiaan dan kesusahan di dunia ini adalah sementara cuma. Manusia mungkin merasakan hidup di dunia ini seakan lama, padahal ianya sangat sekejap, singkat dan tidak ada apa-apa pun darinya yang bermanfaat melainkan pekerjaan amal soleh yang disertai dengan niat ikhlas kerana Allah. Tidaklah aku diciptakan melainkan semata-mata untuk melakukan ibadah kepada Allah.

Sikap kealpaan manusia yang tergoda dengan godaan hawanafsu dunia dan bisikan syaitan menjadikan manusia itu semakin gelap hatinya dan jahil pada kebenaran, bahawa yang hakikinya hidup di dunia ini bukan untuk mengecapi kegembiraan dan keseronokan sementara dengan berbuat maksiat yang dianjurkan hawanafsu dan bisikan syaitan, sebaliknya adalah untuk mengerjakan amal kebajikan yang membolehkan seorang mukmin mengumpul pahala yang banyak bagi kehidupan yang kekal di akhiratnya nanti.

Jika seseorang manusia itu dapat melihat pedihnya seksaan api neraka, sudah tentu dia rajin beribadah dan sangat taat kepada perintah Allah.

Jika seseorang manusia itu dapat melihat betapa indahnya syurga di akhirat kelak maka sudah tentu dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengelak dari masuki api neraka dan ingin ditempatkan di syurga.

Pokok pangkalnya seorang mukmin itu perlu mengenal dirinya sendiri. Dia tidak boleh alpa dengan apa yang dilihat di hadapan mata, kerana di hadapan matanya itu semuanya adalah tipudaya dunia yang melambai-lambai kesenangan dari gelora hawanafsu sehingga ia melanggar perintah dan larangan Allah S.W.T.

Saudara-saudari kaum muslimin yang dirahmati Allah S.W.T. Sekalian,

Marilah kita merenung sejenak akan betapa hebatnya ciptaan Allah yang telah menciptakan 'diri' kita yang sangat unik kita rasakan. Adakah penciptaan kita ini diciptakan sia-sia belaka?

Jika Allah mampu menghidupkan kita, mematikan kita, menentukan segala-gala takdir dalam hidup kita, jika Allah mampu menciptakan nyamuk sehalus-halus kelihatan, semut yang kecil dan virus-virus yang seni, cubalah kita bayangkan kesakitan dan kepedihan siksaanNya di akhirat nanti hasil dari keingkaran kita pada perintahNya.

Jika kenikmatan duniawi yang sementara ini pun sudah kita nampak kemanisannya yang sedikit, apatah lagi kenikmatan syurga-syurga yang telah disediakan yang jauh lebih baik sebaik-baik tempatnya untuk beristirehat selama-lamanya.

Maka renungkanlah sebaik-baiknya, apakah wajar kita pergunakan masa-masa kita pada hari ini dengan sia-sia atau dengan melakukan amal soleh, yang bermanfaat untuk kita setelah kita menuju ke alam yang kekal kelak.

No comments: