Thursday, March 25, 2010

Semangat Berperang Melawan Hawa Nafsu

Mengapa saja bangun pagi pun dgn penuh kemalasan, seakan dunia ini tak seronok? Padahal segala macam nikmat dikurniakan kepadamu oleh Allah S.W.T. Nikmat udara segar, nikmat pandangan mata, atau nikmat pada setiap kali menarik nafas. Maka tidak ada sebabnya untuk manusia berasa kecewa, lemah semangat atau putus asa.

Padahal, setiap saat yang kita miliki adalah kredit untuk kita membuat kebaikan dan mengejar pahala...

Bertanya balik kepada diri, akan apakah niat dan tujuan anda untuk hidup ini?

(seronok menurut hawa nafsu yang menyesatkan dan merugikan serta menipu)

Jika niat untuk berseronok, maka itulah sebabnya anda tidak bersemangat lagi kerana apa yang anda rasa seronok telah tiada. Dan seringkali apa yang membuat rasa seronok itu hanyalah nafsu semata-mata. Padahal nafsu itu menyesatkan manusia dari jalan Allah S.W.T. Mengapa manusia suka mengumpat, sebab mengumpat itu seronok dan mengumpat itu datangnya dari nafsu, maka dosa berlipat ganda dek akibat menurut hawa nafsu. Biar bercerita tentang keburukan orang lain, sedang kita tidak suka orang mengata kita belakang-belakang.. biar memburuk-burukkan orang lain sedang kita tidak suka orang memburuk-burukkan kita. Akhirnya, kesudahannya kelak tiada kebaikan yang kita dapat sebaliknya dosa yang menimbun-nimbun dan bertentangan sekali dengan tujuan hidup kita yang sebenar iaitu di akhirat.

(kesenangan hanyalah sehingga waktu yang ditentukan)

Manusia itu bagi sesetengahnya yang mendapat kesenangan, hanyalah sehingga ke suatu waktu yang telah ditentukan. Sama juga dengan kesusahan. Jika mendapat kesenangan, jangan berbangga, tetapi bersyukur. Jika susah, jangan khuatir jangan mengeluh, tetapi sabar. Sabar kerana ganjaran sabar itu sendiri. Manis dan indahnya bersabar. Jiwa yang bersabar merasa bahagia. Jiwa yang tidak dapat bersabar atau berlapang dada akan mengeluh resah gelisah sehingga merugikan diri sendiri.


Hidup ini bukan tempat tujuan. Tujuan hidup yang sebenarnya akhirat.

Hanya sumbangan yang menjadi matlamat dan gol dalam hidup ini. Apakah yang telah kita sumbangkan untuk alam ini.

Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah Taala.

Maka semangat yang hakiki itu adalah hidup atas kerana Allah. Pagi ini aku kena bangun pagi-pagi menjamah tikar sejadah, menghadap Tuhan Yang Maha Esa yang aku cinta, yang aku sayang, kerana Dialah yang segala-galanya dalam hidupku. Dialah Yang Maha Pengasih yang memberikan aku segala macam nikmat yang tidak terhitung oleh ku.

No comments: