Thursday, March 25, 2010

Self Estim

Mungkin kita patut berasa sedikit rendah diri kepada orang tua, sebagai tanda penghormatan kepadanya berdasarkan pengalaman. Orang tua lebih dahulu makan garam, maka pengalaman dan pemikiran mereka tentu sekali lebih jauh dari yang muda. Tetapi bukanlah rasa rendah diri itu disebabkan rasa kekurangan pada diri. Kerana merasa diri ini serba kekurangan adalah umpama seolah-olah tidak bersyukur dengan apa yang ada.
Antara rasa rendah diri dengan menghormati orang lain, adalah dua perkara yang berbeza, di mana rasa rendah diri itu hanyalah sepatutnya kepada Allah S.W.T.

Kerana rasa rendah diri itu berkait dengan perasaan diri serba kekurangan.

Antara nelayan dan doktor, tidak perlu berasa nelayan itu rendah tarafnya kerana nilai hakiki hanyalah di sisi Allah. Apa guna mendapat penghargaan dari orang ramai tetapi tidak di sisi Allah? Dan adalah sangat bahagianya seseorang itu biarpun miskin dan tidak tinggi pelajaran, tetapi hatinya mampu bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.

Jadi manusia itu semuanya sama sahaja. Tidak ada bezanya. Melainkan nilai taqwa setiap oranglah yang membezakan.

Semua orang akan mati, tidak kira ia peguam, atau doktor atau nelayan dan sebagainya. Penghargaan diri oleh manusia-manusia tidak dapat dibawa sebagai bekalan. Nilai sanjungan manusia hanya ketika di dunia. Sedangkan kehidupan yang sebenar di akhirat.

Yakin pada diri terhadap apa yang diputuskan apabila anda bersandarkan hadis dan al-Quran. Dan akhirnya anda bertawakkal. Anda boleh melakukannya. Dengan izin Allah. Anda boleh. Anda ada keyakinan diri itu sebenarnya. Anda adalah anda seadanya. Tidak ada kekurangan pada anda berbanding orang lain, kerana semua manusia itu tetap ada kekurangannya. Anda bahagia dengan kehidupan anda. Apa yang penting bukanlah memiliki setiap apa yang kita ingini, tetapi menghargai dengan apa yang kita ada, dan gembira dengan apa yang kita ada. Itulah sebahagian tanda bersyukur.

Menghadapi kutukan? Mudah saja, hanya dengan bersikap sabar dan tenang tanpa perlu membalasnya. Anda tidak rugi apa-apa sebenarnya. Pahala sabar di sisi Allah itu lebih baik. Menghadapi kritikan? Terima jika benar, tolak jika salah. Mudah saja. Hidup ini mesti easy thinking. Tak ada apa yang susah. Semuanya senang.

No comments: